Kartunis lebih berani membela rakyat Palestine

Berita
Damsyik: Pelukis kartun bertindak lebih pantas memberi reaksi terhadap keganasan terbaru rejim Zionis Israel berbanding pemimpin negara Arab serantau.
Dengan angka kematian sehingga petang semalam (waktu Malaysia) mencecah sekurang-kurangnya 115 orang dan kemarahan masyarakat dunia terus memuncak, pelukis kartun di Timur Tengah tampil menyindir orang awam kerana memikirkan banyak isu lain berbanding penderitaan penduduk Gaza.
Antara isu yang menjadi perhatian ramai di Timur Tengah ialah demam Piala Dunia. 

Ketika Israel menjadi sasaran kecaman masyarakat Arab serta AS yang menyokong negara itu, keberkesanan Liga Arab turut dipertikaikan.

Pelukis kartun Abdullah Jaber ‘bertindak’ lebih pantas dengan menghasilkan lakaran menunjukkan sebuah kereta kebal Israel mengisi minyak berjenama “Arab Senyap.”

Pelukis kartun Mesir, Amr Okasha melukis dua lelaki pejuang jihad sedang berbual.

Seorang daripadanya berkata: “Zionis menyerang Gaza,” dan dijawab rakannya – yang memegang bendera hitam Negara Islam Iraq dan Syam: “Kita sedang sibuk. Kita cuma mahu membunuh orang Arab.” 

Pelukis kartun Jordan, Emad Hajjaj menghasilkan imej seorang penjaga gol dalam bentuk peta Palestin yang bersusah-payah cuba menangkap objek berlogo Zionis.

Hamzeh Hajjaj pula menghasilkan kartun dengan tiga lelaki berbual. 

Lelaki pertama berkata: “Saya orang Arab dan menyokong Jerman.”

Lelaki kedua pula berkata: “Saya orang Arab dan Brazil.”

Akhirnya lelaki ketiga berkata: “Saya orang Arab dan mahu rakyat Arab bangkit daripada tidur.”

Kartunis Arab Saudi, Aimantoon memilih imej seorang remaja melahap kentang goreng dan minuman berkarbonat sambil menangis melihat laman sesawang Gaza yang mendapat ribuan “Like.”

Seniman Libya pula menggunakan Twitter untuk menyindir: “Jangan bimbang penduduk Gaza. Orang Arab di seluruh dunia sedang menukar gambar profil mereka untuk membantu kalian.” 

Imej lain yang beredar di media sosial turut menampilkan ketidakseimbangan perhatian diberikan kepada korban keganasan itu – lebih 100 orang penduduk Palestin maut dan tiada kematian di pihak Israel. 

Black berkata, reaksi kerajaan Arab juga tidak begitu memberangsangkan, antaranya gara-gara kebencian Arab Saudi dan Mesir kepada gerakan Islam Hamas yang mentadbir Gaza. 

Jordan pula mengecam Tel Aviv kerana melakukan ‘keganasan tidak bertamadun’ ke atas Gaza, namun seperti Mesir, mereka dilihat tidak akan merosakkan perjanjian damai dengan rejim Zionis itu.

Media Syria pula mengutuk Riyadh dan Doha kerana menyokong gerakan menggulingkan Presiden Bashar al-Assad namun tidak berbuat apa-apa bagi membantu Gaza.- Agensi


Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13sumber:- http://www.hmetro.com.my/articles/Kartunislebihberani/MA/Article

Related posts:

Leave a Reply

Comment
Name*
Mail*
Website*