Ben Wong: Hasil Komik Sarat Budaya

Berita

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Dianugerahkan bakat melukis sejak kecil, pelukis komik ini sentiasa teruja dalam mengembangkan idea dan hobi untuk dinikmati penggemar komik di seluruh negara.

Dengan berbekalkan anugerah itu, Benny Wong Tong Hou atau lebih dikenali sebagai Ben Wong meneruskan usaha memberi sokongan terhadap perkembangan industri komik negara yang pada satu ketika dulu pernah melahirkan ramai kartunis dan pelukis komik berbakat besar.

Tanpa disedari, karya Ben Wong yang dianggap sebagai bacaan ringan ini mampu mengumpulkan kelompok pengikutnya sejak mula terbabit dalam industri berkenaan pada awal 2001.

.

.

Ben Wong bukan satu nama asing di persada komik tempatan, malah lelaki berusia 35 tahun itu adalah artis komik tempatan pertama yang memenangi Anugerah Manga Antarabangsa (IMA) di Jepun pada 2007 menerusi komik Le Gardenie.

Sebelum itu, dia juga popular dengan beberapa siri komik terbitan majalah komik tempatan.

“Atas sebab itulah juga saya terus yakin memang ada masa depan yang baik bagi pelukis komik asalkan mereka terus bertanggung­jawab dan menghasilkan karya bermutu yang mampu mematangkan minda pembaca pelbagai peringkat usia.

“Selain itu, ramai yang tidak tahu bahawa karya beberapa pelukis komik dan kartunis tempatan sebenarnya sudah tidak asing di Jepun. Malah, ketika berada di sana untuk lawatan kerja ke syarikat penerbitan negara matahari terbit itu, saya terkejut dan pastinya berbangga apabila mereka amat menyanjungi karya artis komik tempatan seperti Datuk Lat,” katanya.

Menyingkap pembabitannya dalam industri ini, anak jati Muar itu mengakui bidang yang dipilihnya sebagai kerjaya pada mulanya tidak disokong sepenuhnya oleh keluarga.

Sejak kecil dia hanya menjadikan bakatnya itu sebagai hobi dan tidak pernah menghadiri sebarang kelas lukisan, malah dia melanjutkan pengajian dalam bidang yang berbeza iaitu perniagaan. Seperti kebanyakan ibu bapa lain, mereka pasti mahu anak-anak mereka berkecimpung dalam bidang yang lebih menjamin masa depan tapi itu sedikit pun tidak menghalang Ben Wong untuk berkarya dan menghasilkan sesuatu yang membanggakan.

“Saya minat melukis sejak sekolah rendah dan oleh kerana saya amat menyukai komik Dragon Ball dan Slam Dunk, minat ini berterusan hingga sekolah menengah. Pada waktu itu, saya belum melukis komik, hanya menconteng-conteng.

“Sehingga tamat pengajian diploma perniagaan, saya berkhidmat di beberapa majalah kartun terkemuka dan turut membuat animasi dalam aplikasi permainan dalam talian,” katanya.

Ben berkata, karya awalnya dilihat lebih ke arah komik antarabangsa dengan pengaruh konsep komik Jepun, Manga iaitu wataknya ditampilkan dengan mata besar dan karakter kartun yang comel.

“Kini ramai yang meminati konsep Manga terutama yang mempunyai banyak aksi. Kehadiran komik Jepun sebenarnya banyak mempengaruhi penggemar komik tempatan. Namun, lama-kelamaan saya mencari sesuatu yang lebih dekat dengan budaya masyarakat negara ini.

“Selepas memenangi IMA pada 2007, bagaikan satu petanda saya perlu mengubah cara dan gaya tersendiri dengan mengutamakan mesej dan konsep yang lebih kepada budaya Malaysia. Sebahagian besar pembaca adalah orang Melayu,” katanya.

Sambil menolak tang­gapan sesetengah pihak bahawa kartun dan komik sebagai bahan bacaan tidak berfaedah, Ben berkata, ia pendapat kuno kerana bahan itu bukan lagi lawak bodoh tetapi karya seni yang mengandungi mesej positif.

Baginya, karya kartunis prolifik, Lat menjadi batu loncatan kepadanya untuk menghasilkan sesuatu yang menterjemah budaya di negara ini dan komik berkisar mengenai masyarakat di kampung menjadi satu lambang untuk industri komik negara ini.

Justeru, Ben berkata, dari situ tercetus idea untuk menghasilkan komik Atan iaitu satu percubaan yang amat berisiko baginya kerana sebelum ini karyanya lebih dipengaruhi konsep Manga dan tiada langsung menyentuh budaya Malaysia.

Meskipun berbangsa Cina, budaya masyarakat Melayu amat dekat dengannya dan tidak sukar baginya untuk mengolah karya Atan yang sarat dengan pengajaran dan teladan melalui isi tersirat yang terkandung di dalamnya.

Hasilnya, karya Ben melalui Atan sekali lagi diang­kat sebagai pemenang Anugerah Perak pada IMA kali kelapan yang berlangsung di Jepun, baru-baru ini.

Komik Atan mengangkat watak utama kanak-kanak kampung bernama Hasbi dengan berlatar belakang sepenuhnya suasana kampung dan budaya masyarakat Melayu tanpa sebarang teknologi atau bangunan pencakar langit, hanya alam semula jadi dihiasi pokok dan langit biru melatari karya Ben.

Untuk watak Hasbi pula, dunianya hanya berlegar di sekeliling Aniqah dan Anisah, sepasang kembar comel yang sebaya dengannya dan juga Atan, seekor kerbau yang menjadi sahabat karibnya. Baginya, hidup sudah cukup sempurna dalam suasana kampung yang aman damai.

“Pada mulanya saya tidak sangka akan sekali lagi menerima anugerah itu kerana menyedari persaingan yang cukup sengit dengan lebih 300 pelukis komik dari 15 negara seluruh dunia. Pada saya, jika menerima hadiah sagu hati pun sudah memadai.

“Tidak sangka pula karya Atan dipandang ting­gi oleh juri sehingga terpilih ­menerima anugerah itu. Pada mereka, Atan adalah karya yang unik kerana jalan ceritanya diolah sarat dengan budaya dan pengajaran,” katanya.

Ditanya penghasilan karyanya yang berkisar mengenai budaya Melayu, Ben mengakui selain unik dan sarat dengan budaya positif, komik seumpama itu lebih dekat dengan ma­syarakat Malaysia yang majoritinya menggunakan bahasa Melayu.

Malah katanya, budaya Melayu negara ini juga dekat dengan Indonesia kerana berkongsi bahasa yang tidak jauh berbeza, justeru pasaran untuk karya seumpama ini amat meluas.

“Sebagai pelukis komik, saya perlu cari gaya tersendiri, justeru saya merasakan komik yang sarat dengan budaya masyarakat kita adalah lambang kebanggaan saya sebagai anak Malaysia.

“Dalam komik Atan misalnya, saya mahu orang tahu ia diangkat kerana kandungannya yang penuh isi tersurat dan boleh menjadi teladan buat pembaca terutama kanak-kanak. Dari situ, kita boleh mendidik masyarakat walaupun melalui bacaan ringan saja.

“Saya juga berharap dapat menghasilkan lebih banyak karya berunsurkan budaya negara kita selepas ini. Saya mahu membuktikan tiada sebarang halangan untuk berkarya walaupun berbeza agama dan budaya, malah tentu­nya karya yang dihasilkan mampu memberi pengajaran berguna,” katanya.

Selain Atan, Ben turut menghasilkan komik Melayu lain seperti Reda dan Super Safee yang turut ­mengumpul peminat tersendiri.

Katanya, mungkin ada sesetengah ibu bapa yang masih skeptikal terhadap bacaan komik yang diang­gap sebagai bacaan yang membuang masa, namun sebenarnya komik adalah satu bentuk bacaan yang lebih mudah difahami dan mudah memasuki fikiran kanak-kanak.

Sebab itu katanya, dia mahu menghasilkan komik yang mampu memberi pendidikan kepada golongan ini dan bukan hanya mencari keuntungan semata-mata.

Baginya, kepuasan yang dikecapi dalam berkarya kini tidak hanya tertumpu kepada duit, tapi mahu karyanya dikongsi pembaca dan mendapat sesuatu yang bermanfaat.

.

.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 2:04 PM di Harian Metro

 

sumber:- http://www.hmetro.com.my/node/54290 

Related posts:

Leave a Reply

Comment
Name*
Mail*
Website*